DAMIAN (tengah) memberi amanat kepada pemain Melaka. FOTO Nazri Abu Bakar
DAMIAN (tengah) memberi amanat kepada pemain Melaka. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


PASUKAN Melaka United (MU) akan mengadakan ujian pramusim di Bandung, Indonesia dalam rangka persiapan rapi menghadapi Liga Malaysia musim ini.

Penolong pengurus Melaka, Syahrul Nizam Shamsuddin berkata, skuad berkenaan bakal berlepas ke Bandung 28 Januari ini untuk mengharungi tiga perlawanan dengan skuad terbaik di negara berkenaan.

Katanya, antara pasukan bakal menjadi lawan Melaka adalah Persib Bandung yang memiliki barisan mantap dan mampu memberi pendedahan terbaik kepada skuad bimbingan jurulatih Zainal Abidin Hassan.

Menurutnya, kesemua pemain bakal turut serta termasuk import baharu, Uche Agba yang juga bekas pemain PDRM musim 2019.

“Malah bekas import PKNS, Romel Morales yang dijangka tiba Isnin juga akan menyertai skuad Hijau Putih dalam membentuk persefahaman lebih jitu.

“Pramusim amat penting untuk memastikan segala kekurangan dan kelemahan yang ada dapat diperbaiki dan diperhalusi sebelum saingan Liga Malaysia bermula hujung Februari depan,”katanya.

Syahrul berkata, ujian sengit juga bakal menanti Hijau Putih termasuk menentang Bandung United dan Persita Tangerang yang juga memiliki kekuatan seimbang.

Baginya, keputusan perlawanan tidak penting namun apa yang lebih perlu adalah peningkatan permainan, keserasian dan kesungguhan mereka untuk menampilkan sentuhan bertenaga.

Beliau berkata, presiden MUSA, Damian Yeo juga mahu setiap pemain sentiasa agresif meningkatkan kecergasan masing- masing dalam memastikan semua perancangan jurulatih bakal menjadi kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 6:11 PM
Digital NSTP Subscribe