HAFIZH masih gagal mendapatkan penaja.
HAFIZH masih gagal mendapatkan penaja.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy[email protected]


RISIKO tinggi gagal mendapat manfaat dan pulangan sepatutnya antara sebab mengapa syarikat tempatan kurang berminat tampil menjadi penaja kepada pasukan dan pelumba negara yang beraksi di pentas antarabangsa.

Bekas pelumba negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini yang pernah beraksi di Kejohanan Motosikal Dunia berkata, ia perkara biasa bagi mana-mana syarikat yang pastinya mahu pulangan sewajarnya.

"Sebab itu banyak syarikat tempatan terutamanya berkaitan dengan sukan permotoran lebih berminat untuk menaja perlumbaan tempatan seperti Kejuaraan Cub Prix. Mereka mendapat pulangan yang baik dan saya rasa setakat ini pasukan bersaing di Cub Prix tidak berdepan masalah besar memperoleh tajaan," katanya.

Jelas Shahrol, tidak banyak syarikat tempatan yang berani melakukan perjudian menaja pasukan di pentas antarabangsa seperti dilakukan syarikat telekomunikasi, ONEXOX.

"Tapi lihat di mana pasukan ONEXOX TKKR SAG sekarang yang saya anggap berjaya kerana mampu bersaing di semua pentas perlumbaan termasuk di Kejohanan Motosikal Dunia. "Apapun, saya percaya SIC (Litar Antarabangsa Sepang) akan berusaha sedaya upaya untuk membantu Hafizh Syahrin (Abdullah)," katanya.

Arena Metro hari ini melaporkan Hafizh Syahrin mengakui masih gagal memperoleh penaja utama untuk saingan musim baru MotoGP.

Jelas Hafizh yang akan beraksi di saingan Moto2 bersama pasukan Aspar yang sebelum ini dikenali sebagai Angel Nieto, setakat ini dia masih menunggu jawapan daripada pihak tertentu untuk menajanya. Musim baru MotoGP tahun ini akan bermula 8 Mac depan di Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 10:10 PM