SERENA (kiri) dan Svetlana berentap di Auckland. FOTO Agensi
SERENA (kiri) dan Svetlana berentap di Auckland. FOTO Agensi
AFP

JAGOAN wanita Grand Slam, Serena Williams dan Svetlana Kuznetsova kembali meneruskan permusuhan 16 tahun apabila diundi bertembung sesama sendiri pada pusingan pertama WTA Klasik Auckland minggu depan.

Pilihan utama kejohanan, Serena, 38, dan Svetlana, 34, turut berdepan cabaran bintang muda meningkat naik termasuk sensasi remaja Amerika Syarikat, Amanda Anisimova dan Coco Gauff selain pemain Latvia berusia 22 tahun, Jelena Ostapenko.

Serena mendahului Svetlana 10-3 dari segi rekod kemenangan sejak 2004 dan menjuarai 23 Grand Slam berbanding dua dimiliki pemain Russia itu.

Kali terakhir Serena beraksi di Auckland pada 2017 apabila berdepan masalah angin dan tersingkir pada pusingan kedua sebelum menjuarai Terbuka Australia beberapa minggu kemudian.

Dalam satu lagi undian, Caroline Wozniacki yang akan bersara selepas Terbuka Australia akan menentang pemain bukan pilihan dari New Zealand, Paige Hourigan pada pusingan pertama.

Caroline turut bergandingan dengan Serena Williams dalam acara beregu buat kali pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 January 2020 @ 9:43 PM
Digital NSTP Subscribe