AKSI Haiqal ketika meraih pingat emas dalam acara 100 meter lelaki pada Sukan SEA ke-30 Filipina 2019. FOTO Aizuddin Saad
AKSI Haiqal ketika meraih pingat emas dalam acara 100 meter lelaki pada Sukan SEA ke-30 Filipina 2019. FOTO Aizuddin Saad
Iskandar Shah Mohamed

BIARPUN tidak meletakkan sasaran pingat, Muhammad Haiqal Hanafi berazam untuk merekodkan catatan terbaik pada Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Asia yang bakal berlangsung di China, bulan depan.

Kejohanan yang kali pertama disertai raja pecut Asia Tenggara itu turut bakal menguji kemampuannya untuk bersaing dalam acara pecut 60 meter (m).

“Kejohanan Dalam Dewan itu adalah pembuka tirai musim ini dan semestinya saya mahu mempamerkan larian terbaik. Tiada sasaran pingat diletakkan namun saya mahu memberi saingan sekali gus memperoleh catatan masa terbaik nanti,” katanya kepada Arena Metro.

Cabaran yang berlangsung di Hangzhou pada 12 dan 13 Februari itu turut bakal digalas tujuh atlet lain antaranya Lee Hup Wei, Nauraj Singh Randhawa, Yap Sean Yee (lompat tinggi), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Andre Anura Anuar (lompat jauh).

Dalam pada itu, Haiqal mengaku turut mempunyai sasaran lain termasuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo tahun ini.

“Jika diizinkan Allah, tidak mustahil saya dapat turut menyertai temasya terbesar dunia itu. Apa yang saya perlu lakukan kini adalah terus menjalani rutin latihan untuk meningkatkan prestasi sedia ada,” katanya.

Pada Sukan Sea Filipina bulan lalu, gelaran lelaki terpantas rantau ini kekal milik Malaysia selepas Haiqal mengungguli acara 100m dengan catatan 10.35 saat sekali gus mencipta catatan peribadi terbaiknya.

Pelari pecut itu meneruskan legasi Khairul Hafiz Jantan yang tidak beraksi pada edisi kali ini selepas memegang gelaran sama dua tahun lalu di Kuala Lumpur.

Pada aksi final di Stadium Olahraga New Clark City, Haiqal diapit dua pelari pecut Thailand, Ruttanapon Sowan dan Bandit Chuanghai yang masing-masing meraih perak dan gangsa dengan catatan 10.49s serta 10.52s.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 6:31 AM