RAFAEL Nadal dari Sepanyol mencatat kemenangan pada hari keempat kejohanan tenis Piala ATP. FOTO AFP
RAFAEL Nadal dari Sepanyol mencatat kemenangan pada hari keempat kejohanan tenis Piala ATP. FOTO AFP
AFP

RAFAEL Nadal berkata masa depan cerah menanti pemain muda Norway Casper Ruud yang membuktikan dirinya sebagai ‘pembunuh gergasi’ pada Piala ATP biarpun dikecam Nick Kyrgios sebagai membosankan.

Pemain berusia 21 tahun itu, produk akademi tenis Nadal di Mallorca menewaskan pemain kelompok 20 teratas John Isner dan Fabio Fognini untuk mencipta nama dalam kejohanan berpasukan antarabangsa di Australia.

Ruud mendapat perhatian tahun lalu apabila Kyrgios mengamuk ketika perlawanan kedua-dua mereka di Masters Itali, apabila membaling kerusi ke gelanggang.

Dia kemudiannya menggelarkan pemain panas baran Australia itu sebagai ‘bodoh’ dan ‘gila’ sebelum Kyrgios membalasnya dengan mengatakan bahawa dia rela ‘melihat cat kering’ daripada menghadap Ruud yang ‘membosankan’.

“Saya melihat (Ruud) bermain dengan baik pada musim rehat, berlatih setiap hari di Mallorca dan berlatih bersungguh-sungguh,” kata Nadal, pemain nombor satu dunia dan pemenang Grand Slam 19 kali itu.

“Ya, adalah amat penting untuk memulakan musim ini dengan dua keputusan hebat ke atas John (Isner) dan Fabio (Fognini)."

Ruud, yang bapanya Christian adalah kapten Norway dan jurulatihnya, mengejutkan pemain nombor 12 dunia dari Itali Fognini 6-2, 6-2 pada Ahad selepas mengecewakan pemain Amerika Syarikat Isner, ranking 19 dunia, 6-7 (3/7), 7-6 (12/10), 7-5 dua hari sebelum itu.

“Dia menakjubkan dan saya fikir sebelum ini dia berdepan masalah kerana biasa bermain di gelanggang tanah liat dan bukannya gelanggang keras,” kata Nadal.

“Namun ia sesuatu yang membuat saya gembira kerana dia seorang yang hebat, dia bekerja keras dan mendapat sokongan keluarga yang hebat, jadi saya gembira dengan mereka.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 12:11 PM