KYRGIOS membalas pukulan Tsitsipas di Brisbane hari ini. — FOTO AFP
KYRGIOS membalas pukulan Tsitsipas di Brisbane hari ini. — FOTO AFP
AFP

NICK Kyrgios meraih kemenangan moral ke atas pemain nombor enam dunia Stefano Tsitsipas hari ini manakala Russia dan Britain menempah tiket ke suku akhir Piala ATP.

Tsitsipas cemerlang membenam Alexander Zverev semalam, namun dia bertemu buku dengan ruas menentang pemain panas baran Australia itu, yang bertindak baik pada perlawanan berkualiti tinggi sebelum menang 7-6 (9/7), 6-7 (3/7), 7-6 (7/5).

“Ia memenatkan tapi seronok. Saya sedar ia pasti amat sukar... dia seorang pemain menakjubkan serta muda dan akan melakukan beberapa perkara istimewa dalam sukan ini,” kata Kyrgios, yang terlepas perlawanan terakhirnya selepas sakit belakang.

“Saya hanya bangga kami menang. Ada terlalu banyak rasa hormat di luar sana. Dia seorang pemain yang bagus, seorang budak baik.”

Australia memenangi perlawanan itu dengan John Millman mengungguli satu lagi perlawanan perseorangan menentang pemain Greece, Michail Pervolarakis 4-6, 6-1, 7-6 (7/1).

Australia, di samping Serbia diperkuatkan Novak Djokovic, sudah layak ke suku akhir pada kejohanan 24 negara itu sebagai juara kumpulan masing-masing dan mereka disertai Russia dan Britain yang turut memastikan tempat.

Britain mengalahkan Moldova 3-0 untuk menjuarai kumpulan mereka manakala Russia mengatasi Norway 3-0.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 11:16 PM