Mike buru gelaran Mr Universe kali kelima berturut-turut. FOTO NSTP
Mike buru gelaran Mr Universe kali kelima berturut-turut. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain


KETIKA tumpuan terarah kepada temasya Olimpik Tokyo pada tahun ini, jaguh bina badan Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah turut mahu meneruskan pencapaian cemerlangnya di pentas antarabangsa.

Bina badan tidak dipertandingkan di Olimpik Tokyo namun Syarul Azman mahu mempersiapkan dirinya untuk meraih gelaran Mr Universe buat kali kelima berturut-turut.

Pada masa yang sama, dia turut mengintai peluang meraih gelaran Mr Asia kali keenam berturut-turut.

"Mr Universe akan diadakan di Uzbekistan pada November namun terlebih dulu saya akan menyertai Mr Asia di Maldives pada September.

"Sudah pasti saya mahu mempertahankan dua gelaran utama ini. Saya tidak boleh leka dalam persiapan kerana setiap tahun cabaran pasti berbeza terutamanya dengan muka baru.

"Malah faktor usia turut memainkan peranan. Saya perlu mendapat sokongan semua pihak terutamanya dalam aspek kewangan agar dapat membentuk otot badan terbaik apabila tiba pertandingan nanti," jelas atlet berusia 47 tahun itu yang dikenali sebagai Mike.

Malaysia sememangnya bergantung kepada pengalaman luas yang dimiliki Mike untuk membawa gelaran Mr Universe dan Asia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dia beraksi dalam kategori athletic physique sehingga 167cm merangkul gelaran kelima Mr Asia apabila pada Oktober tahun lalu untuk mengulangi kejayaan pada 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Ia dituruti kejayaannya buat kali keempat berturut -turut pada Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia 2019 yang berlangsung di Pulau Jeju, Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 4:41 PM