LTAM sedia bantu Muhammad Annas. FOTO Ihsan Muhammad Annas
LTAM sedia bantu Muhammad Annas. FOTO Ihsan Muhammad Annas
Saiful Affendy Sapran


PERSATUAN Lawn Tenis Malaysia (LTAM) sentiasa terbuka membantu mana-mana pemain yang berhasrat untuk mencari tajaan secara individu.

Bagaimanapun Setiausaha Kehormat LTAM, Kamaruzzaman Kedah berkata, hakikat yang perlu diterima ialah sememangnya agak sukar untuk mendapatkan penajaan ketika ini.

“Bagi pemain yang mahukan bantuan, mereka boleh menghantar profil yang turut menerangkan pencapaian masing-masing. Kemudian kami akan cuba hantar kepada mana-mana pihak korporat yang terbabit.

“Penajaan untuk sukan tenis sememangnya agak terhad dan di Malaysia tidak banyak penaja yang mahu menaja secara individu.

“Malah pihak persatuan juga tidak mendapat tajaan yang besar untuk tempoh semusim," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian mengulas keluhan seorang bapa, Annas Shukhairy di Arena Metro yang sedang berusaha mencari penaja untuk anaknya, Muhammad Annas Farish.

Jelas Annas, anaknya yang berusia 12 tahun itu memerlukan tajaan bagi memgembangkan lagi kariernya dalam sukan itu.

Kamaruzzaman berkata, selain berusaha untuk membantu mendapatkan tajaan, LTAM juga akan memberi peluang kepada pemain seusia Muhammad beraksi di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 7:34 PM