ZII Jia meraikan kemenangan ke atas Antonsen pada pusingan pertama hari ini. — FOTO Bernama
ZII Jia meraikan kemenangan ke atas Antonsen pada pusingan pertama hari ini. — FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


TUAH pukulan kilas jelas membantu perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk menumbangkan pemain nombor empat dunia, Anders Antonsen pada pusingan pertama Masters Malaysia hari ini.

Zii Jia yang dua kali tumpas kepada pemain Denmark itu tahun lalu, mengakui pukulan kilas itu berjaya meningkatkan keyakinannya ditambah sokongan padu peminat tempatan.

“Mungkin ia sekadar pukulan nasib (pukulan kilas) dan saya sendiri pun tak sangka tapi sedikit sebanyak ia meningkatkan keyakinan saya,” katanya selepas menang 14-21, 21-15, 21-8 dalam masa 66 minit di Arena Axiata.

Kemenangan Zii Jia ke atas naib juara dunia 2019 itu sedikit sebanyak menghilangkan tekanan yang dipikulnya terutama selepas dia meraih pingat emas Sukan SEA Filipina bulan lalu.

SOON Huat (kiri) dan Shevon mara ke pusingan kedua di Arena Axiata. — FOTO Bernama
SOON Huat (kiri) dan Shevon mara ke pusingan kedua di Arena Axiata. — FOTO Bernama

Menanti Zii Jia pada pusingan kedua esok Sameer Verma dari India yang menumpaskan pemain Thailand, Kantaphon Wangcheroen 21-16, 21-15.

Turut mara ke pusingan kedua beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang mengalahkan pasangan China, He Ji Ting-Du Yue 21-12, 21-19.

Bagaimanapun, beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tersingkir apabila kalah 15-21, 17-21 di tangan Kim Duk Young-Kim Sa Rang dari Korea Selatan.

Beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See pula tumpas di tangan pilihan kedua dari China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping 13-21, 10-21.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 8:51 PM
Kabinet Malaysia 2020