FITRI (kiri) ketika beraksi bersama THT musim lalu. — FOTO Rozainah Zakaria
FITRI (kiri) ketika beraksi bersama THT musim lalu. — FOTO Rozainah Zakaria
BERNAMA

KAPTEN Pasukan Hoki Terengganu (THT), Fitri Saari melabel Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sebagai pencabar utama pasukan itu dalam memburu kejuaraan Liga Hoki Malaysia (MHL) yang bermula Jumaat ini.

Pemain tengah kebangsaan itu mengakui UniKL yang dibimbing bekas penolong jurulatih skuad kebangsaan, Arul Selvaraj memiliki barisan pemain hebat selain pemain import berkualiti, namun yakin pelantikan jurulatih berpengalaman, Dhaarma Raj Abdullah selain kehadiran beberapa pemain baharu akan membantu wakil Pantai Timur itu mencapai kejayaan musim ini.

UniKL, yang juga juara bertahan MHL, akan berentap dengan juara Piala TNB, THT pada aksi pembuka tirai Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil Jumaat ini.

Pemenang akan meraih tiga mata yang turut dikira dalam kedudukan carta Liga Perdana MHL.

“Persiapan pasukan kami berjalan baik cuma pemain import dari Pakistan tiba agak lewat, namun kami berharap keserasian antara pemain sepasukan dapat diserap dengan secepat mungkin dan dibentuk sebaiknya.

“UniKL menndapat khidmat pemain import yang hebat dan ditambah dengan kehadiran (pemain veteran kebangsaan), Tengku Ahmad Tajuddin (Tengku Abdul Jalil), jadi saya boleh katakan UniKL pasukan yang kuat musim ini, ” katanya.

Dalam pada itu, kapten UniKL, Marhan Jalil berharap kehadiran pemain import baharu, Roel Bovendeert dari Belanda akan membantu pasukan itu mencapai keputusan positif dalam saingan MHL musim ini.

UniKL masih mengekalkan khidmat tiga pemain import mereka musim lalu iaitu penjaga gol dari Ireland, David Harte selain dua pemain dari Australia, Timothy Deavin dan Kieran Govers.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 11:41 PM