Pemain tenis Perancis, Corentin Moutet (kanan) bersalaman dengan Stan Wawrinka selepas aksi separuh akhir Terbuka Qatar. FOTO AFP
AFP

STAN Wawrinka yang memburu kejuaraan pertama ATP sejak Mei 2017 berakhir dengan kekalahan tiga set kepada pemain bukan pilihan dari Perancis, Corentin Moutet di separuh akhir Terbuka Qatar awal pagi ini.

Pemain nombor 81 dunia, Moutet akan berdepan Andrey Rublev pada final selepas mengetepikan pemain pilihan utama Wawrinka 3-6, 7-5, 6-3.

Wawrinka, 34 tahun masih menantikan kejayaan Kejohanan ATP ke 17 dan pertama sejak kemenangan di Geneva lebih dua setengah tahun lalu.

Juara tiga kali Grand Slam mara selepas mengatasi pemain Slovenia, Aljaz Bedene 6-3, 6-4 dalam aksi lapan terakhir pada perlawanan terdahulu.

Moutet, 20, mara ke pencapaian terbaik pada final peringkat utama selepas ketinggalan set pertama, sebelum mencatat kemenangan di set kedua dan penentuan.

Pemain pilihan kedua, Rublev menewaskan bintang Serbia, Miomir Kecmanovic 6-3, 6-1 pada satu lagi aksi separuh akhir, yang sebelum ini mengetepikan Pierre-Hugues Herbert 6-4, 6-3 pada suku akhir.

Rublev, pernah mara ke suku akhir Terbuka AS, memburu kejuaraan ATP perseorangan ketiganya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 8:20 AM