DE Bruyne bakal diturunkan pada perlawanan liga bertemu Aston Villa. FOTO Reuters
DE Bruyne bakal diturunkan pada perlawanan liga bertemu Aston Villa. FOTO Reuters
Agensi

MANCHESTER: Sensasi Manchester City, Kevin De Bruyne dijangka diturunkan pada perlawanan liga bertemu Aston Villa awal pagi esok.

City berdepan kegusaran selepas pemain tengah Belgium itu dilihat terjatuh selepas berlaku insiden pelanggaran ketika bertemu Manchester United.

Bagaimanapun pengurus City, Pep Guardiola berkata, De Bruyne tidak mengalami kecederaan teruk manakala status Aymeric Laporte masih belum dapat dipastikan.

“Kevin tiada masalah. Laporte masih belum pasti lagi, tetapi dia menjalani latihan setiap hari dan ia berita yang baik.

“Saya tidak pasti bilakah dia boleh kembali beraksi. Kami perlu mendapatkan pengesahan doktor bila boleh kembali beraksi semula,” katanya.

Pemain berusia 25 tahun itu tidak beraksi sejak penghujung Ogos tahun lalu kerana kecederan lutut yang serius.

Ketiadaannya menyaksikan City bergelut di bahagian pertahanan, sekali gus menyaksikan mereka kini ketinggalan jauh di belakang pendahulu liga, Liverpool.

Sementara itu, dua penyokong City menerima penggantungan lima tahun daripada menyaksikan perlawanan bola sepak dan penggantungan seumur hidup daripada pihak pengurusan stadium juara Liga Perdana selepas didapati bersalah membabitkan isu perkauman.

Ian Baldry, 58, membuat kenyataan perkauman terhadap pemain sayap City dan England, Raheem Sterling ketika dia meraikan jaringan dalam perlawanan Liga Perdana berdepan Bournemouth di Stadium Etihad pada Disember 2018.

Pada Jumaat, dia dihukum di Mahkamah Majistret Manchester dan diarahkan untuk melengkapkan 200 jam khidmat komuniti dan membayar £170 (RM905.22) sebagai pembiayaan mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 6:45 AM