SERENA atasi Pegula untuk tamatkan kemarau kejuaraan. FOTO AFP
SERENA atasi Pegula untuk tamatkan kemarau kejuaraan. FOTO AFP
AFP

SERENA Williams menamatkan kemarau kejuaraan selepas tiga tahun apabila memenangi saingan Klasik Auckland WTA sebelum mendermakan hadiah kemenangan itu kepada mangsa kebakaran hutan di Australia.

Serena meningkatkan jangkaan ramai terhadapnya di Terbuka Australia bulan ini yang mana dia boleh menyamai rekod Margaret Court memenangi 24 kejuaraan Grand Slam, apabila melakar kemenangan 6-3 6-4 ke atas Jessica Pegula.

Ia adalah trofi WTA pertamanya sejak dia menang di Melbourne tiga tahun lalu.

Pemain berusia 38 tahun itu kemudian bermurah hati mendermakan hadiah kemenangan sebanyak AS$43,000 (RM175,000) kepada tabung mangsa kebakaran hutan di Australia yang amat menyentuh perasaannya.

"Saya beraksi di Australia selama lebih 20 tahun dan ia sangat menyentuh perasaan saya apabila membaca berita tragedi itu.

"Sejak awal saingan lagi saya sudah memutuskan untuk mendermakan kesemua hadiah kemenangan kepada mereka," katanya.

Ia adalah kejuaraan pertamanya sejak 2017 serta yang pertama juga sebagai seorang ibu selepas memenangi Terbuka Australia ketika mengandungkan anaknya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 10:42 PM