JOO Bong berbual dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman   di  Hospital Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
JOO Bong berbual dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman  di Hospital Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Saiful Affendy Sapran


TRAGEDI kemalangan membabitkan pemain nombor satu dunia, Kento Momota pagi tadi nyata amat mengejutkan dan tidak terkecuali dirasai ketua jurulatih Jepun, Park Joo Boong. Jelas Joo Boong, dia sendiri sama sekali tidak menjangkakan tragedi itu akan berlaku selepas Momota baru sahaja meraikan kemenangan memenangi Masters Malaysia dalam acara perseorangan lelaki menewaskan pemain Denmark, Viktor Axelsen semalam.

"Pagi ini sepatutnya dia pulang ke Jepun selepas muncul juara semalam. Tapi berlaku kemalangan hari ini. Saya amat sedih," katanya yang ditemui di Hospital Putrajaya hari ini dan enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Joo Bong berkata, beliau sepatutnya terbang ke Jakarta untuk mempersiapkan pasukan menghadapi Masters Indonesia namun masih tidak pasti bila akan ke sana selepas tragedi menimpa anak buahnya itu.

Selain Momota, tiga lagi terbabit kemalangan itu ialah Pegawai Teknikal Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Wiliams Thomas; pembantu jurulatih Persatuan Badminton Jepun (JBA), Yu Hirayama dan pegawai fisioterapi JBA, Akifumi Morimoto.

Momota patah tulang hidung dan menerima jahitan di bibir. Kesemua mereka berada di dalam keadaan stabil dan ditahan di wad.

Manakala pemandu van yang juga lelaki tempatan dikenali sebagai N Bavan tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

Kejadian berlaku awal pagi hari ini selepas van berkenaan melanggar bahagian belakang sebuah lori di Kilometer 13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Serdang.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, van berkenaan dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kecuali muncul juara buat kali pertama di Malaysia semalam, Momota dilihat sering tidak bernasib baik apabila beraksi di sini. Pada 2016, dia terpaksa menarik diri pada pusingan kedua kerana perlu bergegas pulang ke Jepun untuk membantu siasatan kes judi membabitkan dirinya dengan rakan senegara, Kenichi Tago sebelum digantung sehingga hujung 2017.

Tahun lalu, Momota tersingkir seawal pusingan pertama Masters Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 7:09 PM