Asmir Begovic menyertai Milan dengan kontrak pinjaman selama enam bulan. FOTO File Agensi
AFP

AC Milan menandatangani penjaga gawang Bournemouth, Asmir Begovic bagi menggantikan penjaga gol Sepanyol, Pepe Reina yang melengkapkan enam bulan kontrak pinjaman ke kelab Liga Perdana Inggeris, Aston Villa, hari ini.

Penjaga gol antarabangsa Bosnia berusia 32 tahun itu baharu sahaja kembali ke Liga Perdana selepas menghabiskan masa peringkat pertama pada musim ini dengan perjanjian sementara di Azerbaijan bersama FK Qarabag.

Begovic, yang memenangi kejuaraan Liga Perdana bersama Chelsea pada 2016-17 walaupun hanya beraksi dua perlawanan liga, bersetuju dengan kontrak enam bulan sehingga 30 Jun, menurut kenyataan AC Milan.

"Begovic akan menyertai rakan sepasukannya yang baharu esok," tambah kelab Itali itu.

Bekas penjaga gol Liverpool dan Napoli, Reina yang kontraknya di Milan berakhir hingga 2021, hanya beraksi satu perlawanan pada musim ini.

Bekas pemenang Piala Dunia berusia 37 tahun itu menyelamatkan sepakan penalti pada masa kecederaan ketika membantu pasukannya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Genoa hujung Oktober lalu.

Begovic mungkin boleh beraksi berdepan AS Roma pada aksi Piala Itali awal pagi Jumaat ketika penjaga gol utama Gianluigi Donnarumma mengalami kecederaan otot.

Dia sudah beraksi 62 kali buat Bosnia dan mengetuai negaranya pada lima kejohanan utama.

Kelab itu turut mengumumkan Kapten Denmark, Simon Kjaer bersetuju dengan perjanjian pinjaman selama enam bulan dengan pilihan pembelian daripada kelab Sepanyol, Sevilla.

Pemain pertahanan tengah berusia 30 tahun dipinjamkan ke kelab Serie A, Atalanta sejak September lalu namun hanya beraksi enam kali buat kelab itu.

Dia sebelum ini pernah beraksi di kelab Itali, Palermo dan Roma. Dia juga mengetuai Denmark sejak 2016, menjaringkan tiga gol dalam 95 penampilan.

Milan yang turut menandatangani semula penyerang Sweden, Zlatan Ibrahimovic bulan ini, berada di kedudukan ke 10 carta Serie A ketinggalan 23 mata daripada pendahulu liga Juventus dan 10 mata daripada slot ke Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 9:45 AM