REAKSI Momota (kanan) selepas menewaskan Axelsen. FOTO AFP
AFP

PEMAIN badminton nombor satu dunia, Kento Momota mungkin terpaksa berehat dua bulan selepas terbabit nahas yang membunuh pemandunya beberapa jam selepas menjuarai Masters Malaysia, Ahad lalu.

Pemain Jepun berusia 25 tahun itu mengalami luka di muka termasuk patah tulang hidung dalam kemalangan menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tetapi berharap dapat menyertai Kejohanan Seluruh England pada 11 Mac, menurut Setiausaha Agung Persatuan Badminton Jepun, Kinji Zeniya kepada wartawan , hari ini.

Zeniya berkata, Momota yang memenangi 11 gelaran tahun lalu tetap bersemangat menghadapi Olimpik di Tokyo tahun ini tetapi dia berharap sandaran terbaik pingat emas itu berehat dan dapat pulih sepenuhnya sebelum merealisasikan impian tuan rumah.

"Saya harap dia melakukan yang terbaik tanpa mendesak atau memaksa dia tanpa kesabaran,” kata Zeniya.

"Luka boleh sembuh tetapi apa akan terjadi pada kesan lebam kemudian hari? Saya tahu kecederaan akibat kemalangan boleh muncul semula selepas beberapa ketika,” kata Zeniya.

Bintang Jepun itu memulakan kempen 2020 dengan bergaya selepas menewaskan pemain Denmark, Viktor Axelsen di Kuala Lumpur.

Momota tiada tandingan pada 2019 apabila menjuarai 11 gelaran termasuk Kejohanan Dunia, Kejohanan Asia dan Seluruh England, pencapaian mengagumkan buat pemain yang diharamkan bertanding selepas terbabit dengan perjudian pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 6:53 PM