KES Akhyar belum selesai.
Firdaus Hashim


“KALAU tak selesai di FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) atau keputusan itu masih belum memihak kepada kita, KFA (Persatuan Bolasepak Kedah) akan teruskan kes itu ke pihak berwajib seterusnya.”

Begitu kata Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris yang bersedia mengheret isu ‘tapping up’ atau ‘curi’ pemain kebangsaan, Akhyar Rashid ke peringkat lebih tinggi termasuk ke Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Kuala Lumpur atau Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland.

Jelasnya, walaupun Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak disebut dalam kes tuntutan pampasan yang menyaksikan keputusan AIAC memihak KFA, hakikatnya isu ‘tapping up’ belum diselesaikan kerana ia masih ‘tersangkut’ di peringkat FAM.

“Dalam hal ini kita ambil tindakan terhadap kedua-duanya iaitu Akhyar dan JDT. Kes Akhyar sudah dibawa ke AIAC yang mana kita dah dapat keputusannya sementara kes JDT masih belum berlangsung, masih ada di FAM.

“Kita ada ruang kemuka hak dan Akhyar ada hak untuk merayu. Kita bergerak atas dasar profesional,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai jumlah pampasan RM300,000 diputuskan AIAC yang didedahkan pemilik skuad Harimau Selatan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam, beliau mengakui akan membuat tuntutan supaya nilainya ditambah, sepadan pelaburan dibuat bagi membangunkan pemain kelahiran Jitra, Kedah itu.

“Kalau ditambah dengan yuran perundangan dan sebagainya, KFA akan menerima kira-kira RM327,000. Tetapi bagaimana dengan soal latihan, perbelanjaan yang kita lakukan untuk ‘menaikkan’ pemain itu sebelum ini kerana jumlah itu juga sepatutnya diambil kira.

“Kita menerima nasihat daripada peguam yang mengatakan boleh ‘masuk’ kali kedua yang memungkinkan nilai pampasan itu ditambah. Soal pemain itu mahu membuat rayuan untuk mengurangkan nilai pampasan, itu hak dia,” katanya.

Pada Mei tahun lalu, wakil KFA bersama pasukan peguam menyerahkan bukti dan fakta isu perpindahan kontroversi pemain Harimau Malaya itu yang didakwa menggunakan pintu belakang ke JDT kepada Jawatankuasa Status FAM.

Begitupun, keputusan mesyuarat itu tertangguh kerana perlu mendapatkan keterangan lanjut daripada kedua-dua pihak terutama JDT yang tidak hadir ketika mesyuarat berkenaan.

Berdasarkan peraturan yang ada, JDT boleh dikenakan hukuman penggantungan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) sekiranya KFA berjaya membuktikan wujudnya unsur ‘tapping up’.

Sabtu lalu, skuad Hijau Kuning menerima khabar gembira apabila AIAC di Kuala Lumpur memutuskan kes pampasan Akhyar berpihak kepada persatuan berkenaan.

Perkhabaran itu kemudian mendapat maklum balas Tunku Ismail yang mendedahkan KFA menuntut RM300,000 sebagai wang pampasan dan mengakui Akhyar tidak mempunyai masalah untuk menyelesaikannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 8:15 PM