GIT Kaur (kiri) bersalaman dengan Racheal selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan dan Pemilihan Persekutuan Gimnastik Malaysia ke-24 di Hotel Sri Petaling pada Februari lalu.
Aida Adilah Mat

TIMBALAN Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Kau Git Kaur digantung tugas serta merta selepas dikaitkan dengan parti dadah di Puchong, pada pagi kelmarin.

Beliau antara 17 orang yang ditahan bersama Adun Dengkil, Adhif Syan Abdullah dan empat pegawai khas kementerian.

Git Kaur, 53, memenangi pingat emas pertama negara dalam sukan gimnastik pada Sukan Sea 1991.

Sementara itu Presiden MGF, Racheal Lau berkata, keputusan menggantung Git Kaur dibuat sebulat suara oleh jawatankuasa tatatertib yang bermesyuarat, kelmarin.

“Berdasarkan klausa 11.1.1, 11 1.2, 11.1.3 dan 12.2 dalam pelembagaan MGF membabitkan disiplin, jawatankuasa sebulat suara bersetuju menggantung tugasnya.

“Keputusan mengikut prosedur yang betul dan tindakan lanjut akan dibuat berdasarkan hasil siasatan polis. Beliau akan diberi surat tunjuk sebab dan mesti dijawab dalam masa 14 hari,” katanya.

Rachel berkata, sukan gimnastik disertai ramai gadis kecil, justeru, tindakan tegas perlu diambil terhadap individu terbabit bagi mengelak kesan negatif terhadap atlet.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 9:49 PM