MAT Yo menarik minat Bangkok Glass Pathum United.
Syazwan Msar

   

TEKA-teki haluan penyerang veteran kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha untuk musim ini akhirnya terjawab apabila dia memilih untuk berkelana ke Liga 1 Thailand bersama juara Liga 2 tahun lalu, Bangkok Glass Pathum United.

Perkara itu disahkan ejen Norshahrul, Abdul Halim Abdul Shukor yang juga Pengarah Urusan Offside Sports dengan menjangkakan bekas penyerang Pahang itu akan memeterai kontrak pada Jumaat ini.

Jelas Abdul Halim, pemergian Norshahrul selepas Dominic Tan yang akan bermain di Liga 1 Thailand pada musim 2020 membuktikan kualiti teknikal yang ada pada pemain Malaysia semakin mantap.

Malah beliau menjangkakan lebih ramai pemain tempatan mampu berbuat demikian apabila negara jiran itu mula membuka mata kemampuan bola sepak negara ini selepas mengejutkan mereka 2-1 pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 tahun lalu selain keupayaan kelab Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) beraksi di Liga Juara-Juara AFC (ACL).

“Saya dapat tawaran rasmi daripada satu kelab besar di Thailand bagi mendapatkan Norshahrul atau Mat Yo, jadi esok dia akan ke Bangkok serta membuat pemeriksaan perubatan pada Khamis dan jika semuanya baik, Jumaat dia akan tandatangani kontrak.

“Beberapa bulan lalu, mereka ada mencari pemain Asean dan saya cadangkan nama Mat Yo kerana saya percaya dengan keupayaan teknikalnya dia mampu bermain di Liga Thailand.

“Liga Malaysia antara liga kompetitif di rantau ini, malah turut punyai pakej tersendiri untuk menarik perhatian banyak pihak di luar sana dan saya yakin akan ada pemain dari liga sini boleh bermain di Jepun atau Korea Selatan selain Thailand,” katanya.

Bangkok Glass atau turut dikenali BG Pathum United turut membariskan Irfan Fandi anak kepada legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad yang beraksi di posisi pertahanan.

Ini kali pertama Norshahrul, 34, yang bermain di Liga Malaysia sejak 2003 berkelana ke luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 10:10 PM