Lukaku meraikan jaringan pertamanya ketika pusingan kedua Piala Itali. FOTO AFP
Milan

ROMELU Lukaku meledak gol hanya selepas 21 saat permainan ketika membantu Inter Milan menewaskan Cagliari 4-1 di San Siro sekali gus mara ke suku akhir Piala Itali.

Lukaku yang kembali kepada prestasi sebenar sejak berhijrah ke kelab itu, kemudian meledak gol kedua di babak kedua untuk mengumpul keseluruhan enam gol peribadi selepas empat penampilan terakhir di kesemua pertandingan.

“Inter adalah pilihan terbaik saya untuk menjadi pemain lebih baik dan membantu kelab mencapai sasaran yang dimahukan.

“Saya memberikan segala-galanya untuk pasukan dan usaha saya dihargai oleh peminat,” katanya.

Borja Valero menambah gol kedua minit ke-22 sebelum Lukaku sekali lagi meledak gol minit ke-49 berpunca dari sepakan penjuru Nicolo Barella.

Namun Christian Oliva merapatkan jurang minit ke-73 untuk Cagliari tetapi Andrea Ranocchia menanduk masuk sepakan penjuru Cristiano Biraghi untuk kemenangan mutlak Inter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 9:59 AM