AFC akan memantau situasi di negara Asia Barat. FOTO Owee Ah Chun
Firdaus Hashim

[email protected] com.my

KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) akan mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) termasuk kemungkinan untuk mengubah atau menunda aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia di Abu Dhabi pada 26 Mac ini sekiranya situasi di rantau teluk terus meruncing.

Ketika ini, negara Iran yang berjiran dengan UAE sedang berdepan tekanan hebat daripada Amerika Syarikat (AS) yang kemungkinan menyaksikan dua negara itu terjerumus ke kancah perang susulan pembunuhan pegawai tertinggi Iran yang dicetuskan tentera AS minggu lalu.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata, pihaknya sentiasa memantau situasi yang berlaku di negara Asia Barat itu.

Jelasnya, isu keselamatan pasukan sudah pasti menjadi keutamaan AFC dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selaku badan induk yang menguruskan aktiviti bola sepak di seluruh dunia.

“Ini kelayakan Piala Dunia jadi kena juga bincang dengan FIFA. Tapi buat masa ini, kita memantau rapat keadaan di Asia Barat ketika ini.

“Kita ada SOP untuk mengambil tindakan (perubahan venue atau menunda) jika perlu," katanya kepada Arena Metro mengulas kebimbangan pelbagai pihak mengenai kunjungan skuad Harimau Malaya ke UAE pada Mac nanti.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi sebelum ini mengakui bimbang dengan situasi di Asia Barat dan akan mendapatkan pandangan AFC serta FIFA sebelum membuat apa-apa keputusan sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 3:02 PM