TENGKU Fahd (kanan) bertukar jersi dengan Presiden Levante Union Deportivo, Francisco Catalan selepas menandatangani dokumen perjanjian persefahaman di Putrajaya. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


SELEPAS Johor Darul Ta'zim (JDT) muncul kuasa paling dominan dalam kancah bola sepak tempatan, pasukan futsal Pahang Rangers dijangka menjadi 'Raja' futsal negara selepas ini.

Misi itu bukan mustahil selepas pengurusan Pahang Rangers merangka pelan jangka panjang dengan menjadi pasukan futsal pertama Malaysia yang menjalin kerjasama dengan kelab hebat Sepanyol, Levante UD.

Presiden Pahang Rangers, Tengku Fahd Mua'adzam Sultan Ahmad Shah berkata, adalah menjadi impiannya dan seluruh komuniti Kuantan serta rakyat Pahang untuk melihat pasukan memenangi setiap trofi yang dipertandingkan.

Malah, beliau juga berhasrat untuk melihat Pahang Rangers mengibar cabaran negara dengan beraksi di peringkat Asia pada musim depan.

"Kita nak lihat pasukan jadi pesaing hebat dalam kancah MPFL (Liga Premier Futsal Malaysia) dan kalau boleh kita mahu menang setiap trofi. Kita juga berhasrat untuk bertanding di Asia seperti dalam saingan futsal AFF atau peringkat lebih tinggi iaitu Piala AFC atau ACL untuk futsal.

"Semua itu perancangan jangka pendek tapi untuk jangka panjang, kita mahu lahirkan lebih ramai pemain dan jurulatih terbaik bagi sukan futsal. Kerjasama erat dengan kelab Levante dari Sepanyol ini sebahagian daripada perancangan jangka panjang kita," katanya.

Jelas Tengku Fahd lagi, menerusi kerjasama dengan Levante, beberapa pemain berpeluang berlatih dan beraksi buat kelab Sepanyol itu.

"Kerjasama ini membolehkan kami menghantar pemain untuk berlatih bersama Levante selama 2-3 minggu, Levante juga akan menerima kehadiran jurulatih kita bagi tujuan penempatan (attachment) seterusnya membawa pulang kepakaran daripada mereka ke sini," katanya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Levante UD, Jose Danvila menjelaskan pasukannya dan Pahang Rangers memiliki falsafah dan nilai yang sama iaitu sebuah pasukan penuh semangat kekeluargaan.

"Kami gembira untuk bekerjasama bersama Pahang Rangers kerana kami berkongsi rasa yang sama. Ini juga peluang untuk kami terus berkembang di negara ini," kata Danvila.

Sebagai rekod, Pahang Rangers adalah naib juara MPFL musim lalu dan baru-baru ini kelab itu melantik Gerard Casas Ullastre sebagai ketua jurulatih baru selain turut membawa masuk tonggak Harimau Malaya Awalluddin Mat Nawi, sekaligus menjadikan kesemuanya lapan pemain kebangsaan menyarung jersi pasukan itu musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 8:44 PM