STUART Ramalingam. FOTO Bernama
Firdaus Hashim & Syazwan Msar


NASIB Johor Darul Ta'zim (JDT) berhubung isu perpindahan pemain sayapnya, Akhyar Rashid yang didakwa menggunakan kaedah 'tapping up' atau pintu belakang akan diketahui selewat-lewatnya pada awal Mac ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menegaskan, kelewatan Jawatankuasa Statut membincangkan keputusan unsur 'tapping up' yang dikemukakan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) terhadap JDT disebabkan kekangan masa serta isu-isu lain yang dilaporkan kepada badan induk itu.

Jelasnya, proses perbicaraan kes Akhyar sedang berjalan dan beliau mengesahkan suatu keputusan rasmi akan diketahui dalam masa terdekat.

JDT yang didakwa 'mencuri' dengan menggunakan pintu belakang bakal berdepan hukuman berat sekiranya didapati bersalah dalam kes ini.

Sementara itu, CAS (Mahkamah Timbang Tara Sukan) yang berpangkalan di Switzerland mengesahkan masih belum menerima apa-apa aduan rasmi daripada KFA berhubung isu Akhyar.

Mengulas mengenai perkembangan itu, Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris mengesahkan pihaknya sememangnya belum memanjangkan kes itu kepada CAS kerana mahu mengikut saluran yang ada pada setiap peringkat terlebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 9:59 PM