DAMIAN (tengah), Shukor Adan (kiri) dan Syahrul selepas penyelesaian tunggakan gaji di Melaka hari ini. FOTO Nazri Abu Bakar
DAMIAN (tengah), Shukor Adan (kiri) dan Syahrul selepas penyelesaian tunggakan gaji di Melaka hari ini. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar

PERSATUAN Bolasepak Melaka United (MUSA) sudah menyelesaikan tunggakan gaji musim 2019 membabitkan kesemua pemain tempatan.

Bendahari Kehormat MUSA, Mohamad Rashidi Othman berkata, jumlah berkenaan kira-kira RM1.1 juta termasuk pemain yang tidak disambung kontrak dan yang masih bersama pasukan 2020.

Katanya, cuma tunggakan membabitkan tujuh pemain import masih belum diselesaikan dan dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, langkah penyelesaian keseluruhan hampir ke penghujung dengan pembayaran bakal selesai sepenuhnya membabitkan import terbabit.

“Segalanya berjalan lancar. Semua pemain dan bekas pemain amat berpuas hati dengan langkah berkenaan walaupun sedikit lewat menerusi penyusunan jawatankuasa baharu.

“Dengan bayaran berkenaan membuktikan janji presiden MUSA, Damian Yeo dan pengurusan untuk menyelesaikan tunggakan akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.

Sementara itu, Penolong pengurus Syahrul Nizam Shamsuddin berkata, langkah berkenaan amat positif, terutama hubungan pengurusan dengan mereka yang terbabit dengan tunggakan berkenaan.

Katanya, Shukor Adan yang mewakili bekas pemain Melaka 2019 turut mengucapkan terima kasih diatas usaha Damian menyelesaikan gaji yang tertunggak.

Malah Damian juga mengucapkan terima kasih diatas kerjasama Shukor sepanjang mewakili pasukan Hang Tuah.

Syahrul berkata, ianya perkembangan sihat untuk persiapan pasukan bagi mengharungi Liga Malaysia sekali gus memberi suntikan semangat dan motivasi kepada pemain terus cemerlang mencipta kejayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 7:00 PM