Hamilton (kiri) berbual bersama Leclerc selepas sesi latihan F1. FOTO File Agensi
Hamilton (kiri) berbual bersama Leclerc selepas sesi latihan F1. FOTO File Agensi
Reuters

LEWIS Hamilton memberi amaran bahawa dia mempunyai perancangan untuk berlumba dengan lebih baik daripada sebelumnya ketika mengejar rekod Kejuaraan Formula Satu buat kali ketujuh pada musim ini.

Pelumba Mercedes berusia 35 tahun itu memuat naik gambar di Instagram membabitkan dirinya di rumah, memeluk tiang kayu sambil tersenyum.

"Saya berasa cukup tenang apabila berada di sini, boleh beri tumpuan dan mengasah fikiran serta anggota badan jadi saya akan kembali tahun demi tahun.

“Saya akan menjadi seperti mesin tahun ini, pada satu tahap yang lebih baik daripada sebelum ini," jelasnya.

Pelumba Britain itu memenangi 11 perlumbaan tahun lalu dan dengan purata 10 kemenangan semusim sejak permulaan era V6 turbo hybrid pada 2014.

Perlumbaan pembukaan di Australia pada 15 Mac dan Hamilton memulakan kempen dengan 84 kemenangan dalam karier, tujuh kurang berbanding Michael Schumacher yang mencatat rekod tertinggi dengan 91.

Mercedes memulakan musim lalu dengan kemenangan lapan perlumbaan berturut-turut.

Schumacher juga memegang rekod juara kejuaraan sebanyak tujuh kali, lima bersama Ferrari, manakala Hamilton sudah memenangi lima daripada enam kejuaraan bersama Mercedes.

Hamilton dijangka tamat kontrak pada penghujung musim 2020 dan mengadakan perbincangan dengan Ferrari, begitupun juara itu seperti mahu kekal bersama Mercedes ketika ini ketika pasukan Itali berkenaan mengikat komitmen jangka panjang bersama pelumba muda kelahiran Monaco, Charles Leclerc.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 11:51 AM