NORDE (tiga dari kanan) pemain kelahiran Haiti yang melengkapkan kuota import Melaka United. FOTO Nazri Abu Bakar
NORDE (tiga dari kanan) pemain kelahiran Haiti yang melengkapkan kuota import Melaka United. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


PERSATUAN Bolasepak Melaka United (MUSA) melengkapkan pengambilan import keempatnya dengan menyenaraikan pemain kelahiran Haiti, Sony Norde yang juga pemain tengah negara terbabit.

Penolong pengurus Melaka, Syahrul Nizam Shamsuddin berkata pemain tengah menyerang berusia 30 tahun itu juga adalah pernah menyertai skuad pembangunan kelab Boca Juniors, Argentina dari 2008 hingga 2011 sebelum ke Mexico menyertai kelab San Luis B dan Altamira.

Katanya, pengalaman luasnya yang pernah beraksi bersama kelab di Bangladesh termasuk Sheikh Russel KC dan SJD Club antara aset berharga buatnya menyerlah bersama skuad bimbingan jurulatih Zainal Abidin Hassan.

Beliau berkata, penyertaan Norde bersama kelab terkemuka India Mohun Bagan dan Mumbai City FC juga antara rekod cemerlang yang menjadi faktor penyenaraiannya.

“Malah sebelum ke Melaka dia menyertai kelab Azerbaijan, Zira FK untuk beraksi dalam liga utama negara terbabit. Namun semuanya akan disaksikan sepanjang mengikat kontrak selama setahun bersama skuad Hijau Putih.

“Apa yang pasti kami mengharapkan sentuhan bakal menyerlah bersama rakan penyerang Uche Agba di depan gawang lawan,”katanya.

Syahrul berkata pemain terbabit akan membuat penampilan pertamanya bersama Melaka pada aksi pramusim berdepan UKM FC di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam esok.

Kehadiran Norbe menamatkan pencarian import selepas sentuhan Amido Balde bagi mengisi import keempat skuad berkenaan tidak menepati selera skuad berkenaan.

Balde yang juga bekas pemain PSM Makassar kelahiran Guinea-Bissau yang menjalani latihan bersama skuad berkenaan serta sempat beraksi dalam satu aksi persahabatan sudah dilepaskan MUSA selepas tidak memenuhi kriteria pemilihan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 8:50 PM