MAGUIRE sertai United pada Ogos tahun lalu. FOTO Agensi
Agendi

HARRY Maguire diberi penghormatan menggantikan Ashley Young sebagai kapten Manchester United dengan pertahanan England itu menganggapnya mimpi menjadi nyata.

Young mengakhiri karier selama lapan setengah tahun di Old Trafford semalam selepas pemain England itu menyertai bekas rakan sepasukan, Romelu Lukaku dan pemain United yang dipinjam, Alexis Sanchez di Inter.

Ole Gunnar Solskjaer mengesahkan dalam sidang akhbar menjelang pertembungan dengan pendahulu Liga Perdana, Liverpool awal pagi Isnin bahawa Maguire yang dibeli dengan harga rekod dunia pada 2019 akan memakai lilitan kapten walaupun baharu menyertai kelab pada Ogos.

Maguire melahirkan kegembiraannya mengambil alih tugas itu manakala, bekas kapten United, Wayne Rooney turut mengucapkan tahniah kepada pemain berusia 26 tahun itu.

"Ia mimpi menjadi nyata apabila dinamakan kapten baharu Man United," kata Maguire dalam Twitter. "Detik membanggakan dan penghormatan besar. Saya juga berharap Ashley Young dapat melakukan yang terbaik di Inter.

Young pula mengucapkan selamat tinggal kepada staf United, pemain dan penyokong.

"Kepada Man United, anda memberi saya peluang beraksi dengan legenda, menjulang trofi, bekerja di bawah pengurus terhebat, (Alex Ferguson) dan seterusnya menjadi kapten. Terima kasih membenarkan saya menjadi sebahagian daripada kisah anda sepanjang lapan setengah tahun,” kata pemain berusia 34 tahun itu yang berpindah dari Aston Villa pada 2011 dalam Twitternya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 9:14 AM