CAROLINE ketika sidang akhbar menjelang Terbuka Australia di Melbourne. FOTO AFP
AFP

CAROLINE Wozniacki berkata, dia tidak kesal malah menganggap ia masa tepat meninggalkan sukan tenis apabila bekas pemain nombor satu dunia itu bakal bersara selepas Terbuka Australia.

Tetapi pemain Denmark itu yang kejayaan tunggal Grand Slam di Melbourne pada 2018 mengakui agak emosi apabila detik itu tiba dua minggu lagi.

Caroline mengumumkan pada Disember lalu dia akan bersara daripada tenis untuk menumpukan beberapa perkara termasuk memulakan kehidupan berkeluarga bersama suaminya, bekas bintang NBA, David Lee.

"Persaraan ini sudah lama saya fikirkan,” kata pemain berusia 29 tahun itu yang kini menduduki ranking ke-35 dunia kepada wartawan di Melbourne.

"Saya mahu melihat kehidupan saya, karier, semuanya dan saya rasa keputusan ini tepat atas banyak sebab.”

Caroline mengalami rheumatoid arthritis pada 2018 tetapi menurutnya ia tiada kaitan dengan keputusan untuk bersara selepas tamat Terbuka Australia yang bermula Isnin ini.

Dia yang akan memulakan perlawanan menentang Kristie Ahn dari Amerika Syarikat berkata, “Banyak telah saya capai, saya memberikan segalanya. Setiap hari saya keluar dan bekerja keras untuk kekal di puncak atau cuba kembali ke puncak.

"Selepas ini saya tetap perlu bekerja keras tetapi sesuatu yang berbeza. Jujurnya saya tinggalkan tenis tanpa kesal kerana saya sudah pun bekerja keras sepanjang hidup saya dan keseluruhan karier,” kata Caroline.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 12:29 PM