PEMAIN TLHT (jersi putih) berjaya melakar kemenangan tipis 1-0 menundukkan PDRM di Stadium Hoki Batu Buruk. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


PASUKAN Hoki Wanita Terengganu (TLHT) terpaksa 'mandi peluh' sebelum melakar kemenangan 1-0 menundukkan PDRM Blue Warriors pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB) semalam.

Pemain kebangsaan, Fazilla Sylvester Silin muncul wira pasukannya apabila jaringannya pada minit terakhir perlawanan mengesahkan kemenangan TLHT.

Terdahulu juara berganda musim lalu itu yang diperkuatkan lima pemain kebangsaan bermula garang dengan menguasai keseluruhan permainan pada babak pertama, namun dinafikan benteng 'kebal' skuad PDRM yang dikawal penjaga gol negara Fatin Ayuni Yahya.

Percubaan terbaik TLHT hadir pada minit ketiga perlawanan menerusi pukulan sudut penalti yang diambil, Siti Rahmah Othman, namun tolakannya gagal dibaca rakan sepasukannya.

Pada minit kesepuluh, TLHT yang dibimbing, Nasihin Nubli Ibrahim berjaya meledak gol pertama menerusi Fatin Naimah Zaki, tapi jaringan itu tidak dikira kerana bola terlebih dahulu terkena kaki pemain pemain TLHT.

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat memperkemaskan asakan dan nyaris mendahului melalui percubaan penyerang import kelahiran India, Hardeep Kaur, namun dinafikan penjaga gol, Guzal Bakhavaddin.

TLHT mendapat dua lagi peluang menerusi pukulan sudut penalti tapi juga dihampakan kekentalan benteng pelawat selain kegopohan pemain.

Usaha berterusan tuan rumah akhirnya berhasil apabila Fazilla memanfaatkan peluang terhidang juga menerusi pukulan sudut penalti seminit sebelum tamat perlawanan untuk pasukannya mengutip tiga mata.

Aksi sebelum ini TLHT berjaya menundukkan Sabah 3-0 pada perlawanan pertama, namun aksi kedua bertemu pendatang baharu, Hockademy KL, skuad itu tewas 1-2.

Sementara itu, Pasukan Hockademy wanita melakarkan kemenangan selesa apabila membelasah Sabah 9-1 di Stadium Likas.

Gol jaringan Hockademy dihasilkan oleh Nur Atira Mohamad Ismail (5’), Nuramirah Shakirah Zulkifli (26’), Nuraini Abdul Rahim (30’) anis Nadiah Onn (33’), Wan Norfaiezah Md Saiuiti (35’) Nuramirah Shakirah Zulkifli (37’) Kirandeep Kaur Gurdip Singh (38’), Nur Atira Mohamad Ismail ( 46’) Nuramirah Shakirah Zulkifli (57’)

Manakala gol tunggal Sabah dijaringkan Melanie Juim minit ke-14.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 12:02 AM