MOMOTA. FOTO Syarafiq Abd Samad
MOMOTA. FOTO Syarafiq Abd Samad
Datuk Seri Jalani Sidek

BENAR kata pepatah malang tidak berbau dan itulah yang berlaku kepada pemain nombor satu dunia, Kento Momota apabila terbabit dengan kemalangan minggu lalu.

Dalam insiden itu, Momota serta tiga mangsa yang lain dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk pulang ke Jepun yang menyaksikan pemandu van maut.

Mujur Momota yang muncul juara acara perseorangan di Masters Malaysia tidak berdepan kecederaan serius atau bahasa lebih kasar kehilangan nyawa. Jika tidak, ia akan menjadi berita paling hangat sepanjang minggu lalu.

Di sebalik insiden itu, saya harus beri pujian kepada anggota keselamatan dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang dilihat tidak bersikap lepas tangan.

Badan induk itu tidak lari daripada tanggungjawab mereka untuk memastikan Momota dan mangsa lain mendapat layanan dan rawatan terbaik.

Malah saya difahamkan ada kakitangan BAM yang diminta ‘berkampung’ di hospital untuk membantu semua mangsa yang terbabit.

Ada yang mempertikaikan insiden kemalangan itu terutama penggunaan van untuk menghantar Momota serta yang lain ke KLIA.

Pada anggapan mereka Momota seharusnya menerima layanan lebih baik. Jawapan saya jika anda pergi ke negara lain yang menganjurkan kejohanan badminton, perkhidmatan pengangkutan mereka jauh lebih teruk berbanding di Malaysia.

Jadi tidak timbul sebenarnya layanan VIP perlu diberikan kepada Momota kerana layanan ke atas setiap pemain adalah sama sahaja. Jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 7:15 AM