GAYA Haaland meraikan jaringan kedua Dortmund di WWK Arena, Augsburg. FOTO Reuters
AFP

BINTANG meningkat naik Norway, Erling Braut Haaland masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan hatrik dalam tempoh 20 minit pada penampilan pertama ketika Borussia Dortmund bangkit menewaskan Augsburg 5-3 dalam aksi Bundesliga, awal pagi tadi.

Pemain berusia 19 tahun itu yang masih belum cergas sepenuhnya menunjukkan mengapa Dortmund sanggup membayar Salzburg 20 juta euro (RM89 juta) untuk mendapatkannya bulan lalu apabila dia masuk pada minit ke-56 ketika pasukannya ketinggalan 1-3 di tempat lawan.

Bagaimanapun, jurulatih Dortmund, Lucien Favre menegaskan pemain muda itu belum mencapai tahap kecergasan dikehendaki susulan kecederaan lutut.

"Dia tidak berlatih sepenuhnya bulan lalu. Dia cedera dan tidak banyak kami dapat lakukan untuk tempoh tiga atau empat hari ketika kem latihan,” kata Favre.

"Dia belum bersedia beraksi untuk tempoh 90 minit dan kami ada satu lagi perlawanan pada Jumaat menentang Cologne di tempat sendiri.”

Haaland berkata dia gembira dengan hatriknya dan menolak dakwaan mengenai kecergasan sambil berkata “Adakah saya tampak cergas?”

“Saya berada di kelab yang menakjubkan, dengan rakan sepasukan hebat serta orang yang bagus di sekeliling saya. Saya ke sini untuk menjaringkan gol dan ia penampilan sulung bagus buat saya.”

Kemenangan Dortmund melonjakkan mereka ke tangga keempat dalam liga, sama mata dengan juara bertahan, Bayern Munich dan Schalke tetapi tujuh mata di belakang pendahulu, RB Leipzig yang menjarakkan kedudukan kepada lima mata di puncak selepas menewasan Union Berlin 3-1.

Haaland hanya memerlukan 183 saat membuka akaun jaringannya bersama Dortmund dan menambah dua lagi gol dalam tempoh singkat untuk hatrik keenamnya musim ini dengan menjaringkan 28 gol daripada 22 perlawanan bersama Salzburg.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 11:16 AM