PEMAIN TLHT (jersi putih) cuba menyekat kemaraan pemain PDRM. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


PENGENDALI Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT), Mohd Nasihin Nubli Ibrahim mengakui ‘pening kepala’ memikirkan dua pemain import dari Argentina yang masih belum tiba walaupun skuadnya sudah mengharungi tiga perlawanan Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM).

Bekas pengendali kebangsaan itu berkata, sepatutnya pemain berkenaan, Agostina Galimberti dan rakan senegaranya, Micaela Andrada Farace sudah tiba di Kuala Lumpur namun apa yang berlaku sebaliknya.

Bagaimanapun, seorang lagi import dari Kazakhstan, Guzal Bakhavaddin yang beraksi di posisi penjaga gol sudah bersama pasukan sejak perlawanan pertama lagi.

Difahamkan masalah kelewatan dua pemain itu berpunca daripada tiket penerbangan pergi dan balik.

“Kami masih mengharapkan import dari Argentina itu tiba dalam masa terdekat bagi memantapkan lagi jentera tengah dan serangan pasukan.

“Tapi yang pasti saya belum lagi mengetahui bila pemain itu akan sampai, saya serahkan kepada pihak pengurusan mengenai perkara itu,” ujar Nasihin ketika ditemui selepas berakhir perlawanan menentang PDRM Blue Warriors di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB) petang semalam yang berpihak kepada TLHT 1-0.

Mengulas perlawanan itu, Nasihin mengakui pemainnya agak bergelut untuk mencatat kemenangan biarpun beraksi di laman sendiri.

“Pasukan lawan memberi tentangan hebat terutama skuad itu mempunyai beberapa pemain kebangsaan termasuk dua import dari India, tapi kredit juga harus diberikan kepada pemain TLHT beraksi baik dengan beberapa strategi yang menjadi.

“Keseluruhan kami puas hati lebih-lebih lagi dapat tiga mata, namun kami akui penyudah yang tumpul masih menghantui kami. Kami perlu perbaiki situasi itu menjelang pertemuan seterusnya dengan Mutiara Impian MSSPP-PSHA di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 29 Januari ini,” ujar Nasihin.

TLHT mengumpul enam mata daripada tiga perlawanan selepas menumpaskan Sabah 3-0 dan terbaharu bertemu PDRM semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 11:55 AM