PEMAIN Felda United FC meraikan kemenangan ketika menewaskan PSMS Medan. FOTO FB Felda United FC
Firdaus Hashim


SKUAD Felda United FC memberi amaran awal kepada pencabar lain menjelang saingan Liga Super musim ini selepas menjuarai Piala Edy Rahmayadi 2020 di Medan, Indonesia, kelmarin.

The Fighters mencipta kejutan apabila menewaskan kelab dari Kemboja, Boeung Ket FC, 1-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Teladan.

Jaringan tunggal penyerang import, Nicholas Velez pada minit ke-47 sudah cukup memastikan anak buah Nidzam Jamil membawa pulang trofi kejuaraan sekali gus meningkatkan moral mereka menghadapi kancah liga tempatan yang dijadual membuka tirai pada 28 Februari ini.

Bagaimanapun, Nidzam mengganggap masih banyak kelemahan perlu diperbaiki dan menjadikan aksi di kejohanan jemputan itu sebagai platform meningkatkan persembahan.

"Keputusan perlawanan penting tetapi fokus utama saya ialah melihat tahap persediaan pemain dari segi mental dan fizikal kerana mereka bertemu kelab terbaik di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Sebelum melangkah ke final, skuad The Fighters menewaskan tuan rumah, PSMS Medan 2-1 hasil jaringan Nicholas Velez dan Akhmar Haiqal.

Satu lagi wakil negara, Pulau Pinang menduduki tempat ketiga apabila tewas 2-3 kepada Boeung Ket FC dan kemudian mencatat kemenangan ke atas PSMS Medan menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 12:12 PM