Damian dan Noor Azman (kiri) disahkan sebagai presiden dan naib presiden MUSA hari ini. FOTO Nazri Abu Bakar
Damian dan Noor Azman (kiri) disahkan sebagai presiden dan naib presiden MUSA hari ini. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


KOORDINATOR Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman dilantik sebagai Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) pada Kongres MUSA kali ke-64 di Ayer Keroh hari ini.

Dia yang juga pegawai khas presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dilantik bagi menggantikan Datuk Harun Mohamad yang mengosongkan jawatannya sebelum ini.

Noor Azman yang juga mantan Setiausaha Agung MUSA (2015-2018) dan jawatankuasa bola futsal dan bola sepak pantai FAM (2013-2018) serta jawatankuasa pertandingan tempatan (FAM) sesi 2018/2019 kembali memperkuat persatuan itu dengan pengalaman luasnya.

Malah dia juga satu-satunya calon yang menerima pencalonan melebihi syarat minima iaitu 30 peratus daripada perwakilan Kelab Gabungan MUSA.

"Sudah pasti saya berusaha membantu MUSA merencana perjalanan gemilang di bawah kepimpinan presiden baharu Damian Yeo.

"Sokongan semua ahli gabungan memberi kekuatan buat saya mencurah pengalaman yang ada untuk kemajuan persatuan," katanya.

Kongres juga mengesahkan Damian Yeo sebagai Presiden MUSA yang baharu selepas penyandang terdahulu, Ketua Menteri, Adly Zahari menyerahkan jawatan berkenaan kepada beliau pada 1 November lalu.

Penyerahan itu selaras dengan artikel 40 (1) Perlembagaan MUSA yang menyatakan sesiapa saja yang dipilih sebagai ketua menteri secara automatik adalah Presiden MUSA dan boleh melantik sesiapa saja yang dianggap sesuai sebagai presiden.

Pengumuman pelantikan mereka disempurnakan Setiausaha Agung MUSA, Farhan Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 6:29 PM