X
Mohd Nasihin masih menanti kemunculan pemain import pasukannya. FOTO Malik Muhamad
Mohd Nasihin masih menanti kemunculan pemain import pasukannya. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


PENGENDALI Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT), Mohd Nasihin Nubli Ibrahim mengakui `pening kepala’ memikirkan dua pemain importnya dari Argentina yang masih belum tiba walaupun skuadnya sudah mengharungi tiga perlawanan peringkat Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM).

Bekas pengendali kebangsaan itu berkata, sepatutnya pemain berkenaan, Agostina Galimberti dan rakan senegaranya, Micaela Andrada Farace sudah tiba di Kuala Lumpur, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Bagaimanapun seorang lagi pemain import skuad itu dari Kazakhstan, Guzal Bakhavaddin yang beraksi di posisi penjaga gol sudah bersama pasukan itu sejak perlawanan pertama lagi.

Difahamkan masalah kelewatan dua pemain itu adalah berpunca daripada tiket penerbangan pergi dan balik.

“Kami masih mengharapkan pemain import dari Argentina itu tiba dalam masa terdekat bagi memantapkan lagi jentera tengah dan serangan pasukan.

“Tapi yang pasti saya belum lagi mengetahui bila pemain itu akan sampai, saya serahkan kepada pihak pengurusan mengenai perkara itu,” kata Nasihin ketika ditemui selepas berakhir perlawanan ketiga liga bertemu pasukan PDRM Blue Warriors di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB) petang semalam yang berpihak kepada TLHT 1-0.

Mengulas perlawanan itu, Nasihin mengakui pemainnya agak bergelut untuk mencatat kemenangan biarpun beraksi di laman sendiri.

Katanya, pemain harus memperbaiki beberapa kelemahan terutama penyudah kurang berkesan menjelang pertembungan menentang Mutiara Impian MSSPP-PSHA di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 29 Januari ini.

TLHT mengumpul enam mata daripada tiga perlawanan hasil kemenangan menumpaskan Sabah 3-0 dan terbaharu bertemu PDRM semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 6:42 PM
Digital NSTP Subscribe