X
NWAKAEME membuktikan sentuhan jaringannya masih lagi berbisa apabila menjaringkan sebanyak 15 gol termasuk sembilan gol dalam saingan Piala Malaysia. FOTO NSTP
NWAKAEME membuktikan sentuhan jaringannya masih lagi berbisa apabila menjaringkan sebanyak 15 gol termasuk sembilan gol dalam saingan Piala Malaysia. FOTO NSTP


TIADA kata putus berhubung status penyerang Nigeria, Dickson Nwakaeme yang dikatakan kembali menyarung jersi skuad Pahang dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Sehingga kini, segala desas-desus pemain berumur 34 tahun itu akan mempertajamkan jentera serangan Tok Gajah masih belum ada kepastian.

Biarpun Nwakaeme yang pernah membantu Pahang menjulang tiga piala pada musim 2014 berada di negara ini, segala persoalan masih belum terjawab.

Menurut sumber, setakat ini, apa yang boleh dikatakan sama ada Nwakaeme akan kembali bersama Pahang hanya akan terjawab seawalnya bulan depan.

"Memang ada perundingan tetapi ia turut membabitkan beberapa perkara termasuk dari segi kontrak.

"Jika kedua-dua pihak bersetuju dengan kontrak itu kemungkinan kelibat Nwakaeme akan dapat disaksikan dalam saingan Liga M musim ini," katanya.

Sebelum ini Nwakaeme atau gelaran 'Orang Besi' pernah menyatakan kemungkinan kembali ke Pahang sebaik saingan Liga M berakhir November lalu.

Ia disahkan lagi dengan beberapa keping gambar yang Nwakaeme kini sudah berada di negara ini.

Musim lalu, Nwakaeme membuktikan sentuhan jaringannya masih lagi berbisa apabila menjaringkan sebanyak 15 gol termasuk sembilan gol dalam saingan Piala Malaysia.

Namun, kegagalan Pahang menjulang piala menyaksikan hanya pertahanan dari Perancis, Herold Goulon yang kekal bersama skuad manakala empat import lain tidak lagi bersama Pahang.

Selain Nwakaeme, tiga lagi import ialah Safuwan Baharuddin dari Singpura, Sadddil Ramdani (Indonesia) dan Lazarus Kaimbi (Namibia).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 7:55 PM
Kabinet Malaysia 2020