MEGAT meluahkan kekecewaannya pada sidang media hari ini. FOTO Amirudin Sahib
Aida Adilah Mat


PRESIDEN Persatuan Kanu Malaysia (Masca) Datuk Sri Megat D Shahriman Zaharudin mahu kegagalan di Sukan Sea ditanggung semua pihak dan bukannya diletak dibahunya semata-mata.

Masca muncul kontinjen terbesar dengan menyenaraikan 37 atlet dan pegawai tapi pulang tanpa sebarang pingat.

Megat berkata, adalah tidak adil meletakkan kesalahan di atas bahunya sedangkan beliau sendiri tidak tahu menahu dalam soal pemilihan atlet ke temasya dwi-tahunan itu.

Katanya pada satu sidang media di sini hari ini, pemilihan pasukan kanu dan perahu naga yang mewakili Malaysia bukanlah seperti yang diluluskan oleh beliau sebaliknya ia adalah nama yang dicadangkan beberapa exco diketuai Timbalan Presiden Masca, Datuk Michael Wong.

“Saya sampai sekarang tidak tahu kenapa mereka membuat pemilihan yang tidak telus itu dan kemudian menyalahkan saya.

“Malah saya dituduh mempunyai agenda peribadi ketika menolak senarai nama yang dicadangkan. Saya tak tahu kenapa saya dituduh sedemikian rupa sedangkan saya hanya ingin pastikan atlet yang terbaik ke Sukan Sea.

“Sekarang ini muncul pula undi tidak percaya ke atas saya. Saya sendiri tak tahu kenapa pada hal saya menggunakan wang saya sendiri untuk pembangunan sukan kanu di Malaysia,” katanya.

Megat berkata, beliau mempunyai alasan kukuh dalam menolak senarai pasukan kerana pasukan pilihannya mempunyai rekod lebih baik berbanding yang dicadangkan oleh timbalannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 7:09 PM