KIM Swee harap semua pihak bersabar. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Firdaus Hashim


PENGARAH Pembangunan Belia Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baru, Datuk Ong Kim Swee mahu semua pihak bersabar terutama dalam membangunkan pemain muda yang memerlukan tempoh masa panjang sebelum mampu menyinar.

Menurut bekas pengendali skuad bawah 22 (B-22) tahun negara itu, beliau yang sudah memulakan tugas barunya pada bulan ini bakal merangka beberapa program bersama Pengarah Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Saad Ichalelene.

Katanya, program berkenaan akan mengikut acuan sebenar FAM yang sebelum ini melancarkan DNA bola sepak negara pada Julai tahun lalu.

“Saya bersetuju untuk bersama FAM dan dah tentu tugas-tugas saya akan lebih tertumpu kepada pembangunan bola sepak di negara kita. Harap dengan adanya saya di bahagian pembangunan, saya dapat menbantu serba sedikit pembangunan belia di negara kita,” katanya yang diikat oleh FAM sehingga Disember ini.

Jelasnya, setiap pemain muda yang berada dalam sistem NFDP serta di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) mempunyai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) masing-masing yang perlu dicapai.

“Dalam peringkat pembangunan kita harus tahu di mana ini memerlukan masa dan saya takkan berada di pembangunan belia selamanya, tetapi pembangunan belia akan berjalan setiap masa dan panjang.

“Kalau lihat program AMD yang kita ada, setiap kategori 13, 14, 15, 16 dan 17 tahun mempunyai perancangan untuk kelayakan Piala Dunia B-17, B-20, Sukan Sea, Sukan Asia dan Sukan Olimpik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 10:05 PM