BEKAS pengendali Kuantan FA, Ismail Zakaria.
Oleh Syazwan Msar


BIARPUN isu tunggakan gaji membabitkan bekas pemain dan jurulatih empat kelab sudah lebih dua tahun berlarutan namun semua mereka tetap menanti dengan penuh sabar dan tabah agar nasib mereka terbela.

Empat kelab terbabit Terengganu City FC (TCFC), Hanelang, Marcerra United serta Kuantan FA sehingga kini masih lagi tidak menemui jalan penyelesaian tambah memburukkan keadaan pihak berkaitan seolah-olah kurang berminat mengenai kes mereka.

Persatuan bola sepak negeri atau ahli gabungan kepada kelab terbabit perlu bertanggungjawab terhadap segala masalah tunggakan gaji yang timbul.

Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) selaku ahli gabungan bagi Marcerra United manakala Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) pula membabitkan Kuantan FA.

Manakala, TCFC pula penubuhannya mendapat sokongan daripada Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBNT) dan Hanelang FC yang bernaung di bawah Persatuan Bolasepak Hulu Terengganu turut sama sebagai ahli gabungan badan induk bola sepak negeri itu.

Bekas pemain Hanelang FC Shahrizal Saad berkata, kes tunggakan gaji harus dipikul Persatuan Bolasepak Negeri apabila meluluskan atau memberi sokongan terhadap penubuhan kelab yang sudah lesap itu.

“Kami lakukan segalanya yang diperlukan atau seperti diminta oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam mencari penyelesaian berkaitan tunggakan gaji.

“Namun sehingga kini tiada jalan penyelesaian, malah semua pihak ambil sikap lepas tangan dalam menangani masalah terbabit,” katanya.

Perkara terbabit turut disokong bekas pemain TCFC Wan Azwari Wan Nor, apabila pihak yang memberi sokongan kepada penubuhan kelab yang sudah lesap perlu memikirkan inisiatif untuk menyelesaikan tunggakan gaji yang ditanggung puluhan pemain.

Katanya, persatuan bola sepak negeri seharusnya menyemak dahulu latar belakang kepimpinan kelab sebelum memberikan kelulusan atau sokongan.

Sementara itu, bekas pengendali Kuantan FA, Ismail Zakaria berkata, jika semua pihak mengambil sikap lepas tangan menyebabkan masalah tunggakan gaji tiada penyelesaian walaupun bola sepak negara melalui pelbagai transformasi pada masa akan datang.

Katanya, berapa lama lagi harus mereka menunggu sehingga perkara ini dapat diselesaikan? Jumlah tunggakan bukannya sedikit malah pihak berkaitan termasuk PBNP tiada langsung mengadakan perbincangan mengenai perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 6:01 AM