REINIER pemain tengah Flamengo. FOTO Agensi
Reuters

REAL Madrid menandatangani seorang lagi pemain muda Brazil berusia 18 tahun, Reinier Jesus yang beraksi di bahagian tengah kelab Flamengo, umum gergasi La Liga itu, awal pagi tadi.

Kelab dalam kenyataan berkata Reinier yang memenangi Copa Libertadores bersama kelab zaman remajanya pada Disember lalu mengikat kontrak enam tahun di Bernabeu.

Reinier pemain muda berpotensi terkini dari Amerika Selatan menyertai rakan senegara, Vinicius Junior dan Rodrygo berpindah ke ibu kota Sepanyol itu dalam tempoh 18 bulan.

Dia akan menyertai pasukan simpanan Real sebaik sahaja penyertaannya dalam skuad praOlimpik Brazil tamat pada Februari depan.

Akhbar tempatan melaporkan Madrid membayar yuran perpindahan berjumlah 30 juta euro (RM135 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 8:59 AM