GUARDIOLA mahu kebajikan pemain diambil kira. FOTO Reuters
AFP

PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola berkata, beberapa kejohanan dalam bola sepak Inggeris perlu dimansuhkan demi kebajikan pemain dan meningkatkan kualiti perlawanan.

City berdepan Sheffield United di tempat lawan awal pagi esok dalam aksi Liga Perdana iaitu perlawanan ke-17 dalam tempoh 59 hari sejak rehat antarabangsa pada November lalu.

Kecederaan serius kapten Tottenham, Harry Kane dan penyerang Manchester United, Marcus Rashford mungkin boleh menjejaskan peluang England di Euro 2020 dan Guardiola percaya ia berkait rapat dengan jumlah perlawanan yang mereka harungi.

"Pemain tiba di Euro, berusaha sebaik mungkin bersama skuad kebangsaan dan mereka ke sini semula selepas rehat 20 hari kerana perlawanan perlu diteruskan. Ia tak boleh dibendung lagi,” kata Guardiola ketika sidang akhbar, awal pagi tadi.

"Saya simpati dengan Kane dan Rashford kerana mereka baik untuk liga tetapi kita meminta banyak daripada pemain. Mereka (Liga Perdana) perlu mengambil kira perkara ini tetapi mereka tidak peduli rungutan pengurus."

Tekanan kini di bahu badan bola sepak England untuk sekurang-kurangnya memansuhkan aksi ulangan pusingan ketiga dan keempat Piala FA termasuk aksi timbal balik separuh akhir Piala Liga.

City terbabit dalam dua saingan tempatan selain Liga Juara-Juara dan mereka berbaki 19 perlawanan lagi musim ini.

"Anda perlu mansuhkan beberapa perlawanan, keluarkan ia sepenuhnya, jadi kurang perlawanan,” kata Guardiola.

"Kurang perlawanan, kurang pertandingan, kurang pasukan, kurang kuantiti dan lebih kualiti.

Guardiola turut menyertai pengendali Liverpool, Jurgen Klopp yang tidak puas hati dengan cadangan Liga Juara-Juara diperluaskan bermula 2024.

"Penyelesaiannya ialah anda perlu menjadikan setahun ada 400 hari baru boleh kita adakan satu lagi kejohanan,” katanya.

Buat kali pertama musim ini, setiap kelab Liga Perdana mempunyai rehat dua minggu pada Februari tetapi Guardiola percaya ia sudah agak lewat selepas tempoh menyeksakan.

"Pihak bertanggungjawab tidak boleh merungut kerana ia perkara biasa yang berlaku. Lihat sahaja kepada kecederaan kami alami. Ia normal. Dengan jumlah perlawanan, pemain menerima risiko. Saya tak terkejut dan bersimpati dengan mereka.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 10:05 AM