MBAPPE perkasa cabaran di Tokyo. FOTO Reuters
AFP

KYLIAN Mbappe berkata, dia mengimpikan kejayaan membantu Paris Saint-Germain menjulang trofi pertama Liga Juara-Juara selain membantu Perancis menjuarai Euro 2020 dan Sukan Olimpik di Tokyo tahun ini.

Pemain PSG dan bintang Perancis berusia 21 tahun itu yang juga pemenang Piala Dunia 2018 berkata demikian ketika ditanya impian tahun baharu ketika melancarkan badan kebajikan miliknya di Paris, awal pagi tadi.

"Sudah pasti tiga gelaran. Liga Juara-Juara, Kejohanan Eropah dan Sukan Olimpik. Ia tidaklah teruk sangat,” kata Mbappe sambil tersenyum.

"Ia mungkin sukar dicapai buat masa sekarang tetapi saya mahu pastikan saya dapat memenuhi impian ini. Ia pasti menjadi detik membanggakan jika dapat menghadiahkan gelaran Eropah pertama buat PSG dan kemenangan buat negara saya.”

Badan kebajikan Mbappe ditubuhkan bagi membantu 98 kanak-kanak sempena tahun kelahiran pemain itu - berusia antara sembilan dan 16 tahun bagi memenuhi impian mereka.

Bulan lalu, Mbappe menawarkan diri memperkasakan cabaran Perancis pada Sukan Olimpik Tokyo tetapi tidak mahu bergaduh dengan kelab untuk tujuan itu.

"Beraksi di Olimpik, saya tidak mengawal semuanya,” katanya kepada majalah France Football. “Sudah tentu saya mahu pergi tetapi jika kelab yang juga majikan saya tak membenarkan, saya tidak memaksa untuk dilepaskan.”

Dia berkata dia akan berunding dengan pengarah sukan PSG, Leonardo yang dikatakan keberatan membenarkan Mbappe beraksi di Olimpik susulan aspek kecergasan.

Euro 2020 bakal berlangsung di 12 bandar berbeza di Eropah bermula 12 Jun sehingga 12 Julai manakala acara bola sepak Olimpik bermula 23 Julai hingga 8 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 11:27 AM