Kenny Goh sambut baik keputusan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang meluluskan penggunaan bulu tangkis sintetik. FOTO File NSTP
Kenny Goh sambut baik keputusan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang meluluskan penggunaan bulu tangkis sintetik. FOTO File NSTP
Saiful Affendy Sapran


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menyambut baik keputusan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang meluluskan penggunaan bulu tangkis sintetik di semua peringkat kejohanan antarabangsa mulai 2021.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh bagaimanapun menegaskan, BWF perlu melaksanakan perubahan itu dengan sebaik-baiknya termasuk memastikan kualiti bulu tangkis sintetik itu sama seperti bulu tangkis asal yang diperbuat daripada bulu angsa.

"Bagi kami ini adalah satu usaha yang baik daripada BWF kerana kita tahu bulu tangkis adalah satu komoditi yang mahal dan semakin berkurangan.

"Kita juga tahu bulu angsa kebanyakannya dari negara China dan di situ ada konsep monopoli. Dengan adanya bulu tangkis sintetik, ia diharap dapat mengatasi isu seperti alam sekitar dan harga komoditi boleh dikawal dengan baik.

"Bagaimanapun kami berharap BWF boleh melaksanakannya dengan yang terbaik iaitu pertama, bulu tangkis itu mutunya mestilah sama dengan mutu bulu tangkis yang asal.

"Kedua, harap BWF boleh mengawal pasaran bulu tangkis ini supaya ia tidak dimonopoli oleh satu syarikat. Ia membolehkan harga bulu tangkis sintetik ini boleh dikawal bergantung dengan permintaan pasaran," katanya.

Berdasarkan laporan BWF melakukan ujian berterusan ke atas pelbagai prototaip yang dijalankan sewaktu pembangunan melalui kerjasama teknologi bersama Yonex, bulu tangkis sintetik didapati lebih tahan lama dan jimat berbanding bulu tangkis yang menggunakan bulu asli.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 8:17 PM