Lorenzo Insigne. FOTO File Agensi
Lorenzo Insigne. FOTO File Agensi
Reuters

KAPTEN Napoli, Lorenzo Insigne meminta maaf kepada penyokong kanak-kanak berusia sembilan tahun selepas aksi mengecewakan skuad itu ketika tewas 0-2 di gelanggang sendiri kepada Fiorentina pada Sabtu lalu membuatkan kanak-kanak lelaki itu menangis.

Imej penyokong menangis yang memakai skaf Napoli muncul ketika siaran langsung dan dimuatnaik secara meluas di media sosial sehingga sebahagian penyokong meminta gambar itu digantung dalam bilik persalinan untuk memberi motivasi buat pasukan.

Napoli, naib juara dalam tiga daripada empat musim terakhir, merosot ke kedudukan ke-11 Serie A musim ini dan tewas empat daripada lima perlawanan sejak Gennaro Gattuso menggantikan Carlo Ancelotti sebagai jurulatih pada Disember.

Gattuso menyifatkan aksi pada Sabtu cukup memalukan.

“Saya minta maaf kerana keputusan itu membuatkan kamu menangis,” kata Insigne dalam video kepada penyokong dinamakan sebagai Mario seperti dilaporkan beberapa laman web di Itali.

“Kami berjanji bahawa mulai sekarang hingga penamat, kami akan melalui kejuaraan yang hebat dan kamu akan kembali senyum bersama kami sekali lagi. Kami menanti kamu di stadium. Pelukan untuk kamu.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 9:55 PM