Norde masih belum serasi. FOTO Nazri Abu Bakar
Norde masih belum serasi. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


JURULATIH Melaka United, Zainal Abidin Hassan menagih sentuhan lebih mantap menjelang aksi pra musim berdepan Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Khamis ini.

Baginya, persembahan anak buahnya masih belum mencapai keserasian jitu pada aksi persahabatan berdepan UKM FC di Stadium Hang Jebat minggu lalu, walaupun mengatasi pelawat 2-0 pada perlawanan itu.

Katanya, sentuhan penyerang import dari Haiti, Sony Norde juga belum mantap sepenuhnya tambahan dia baru sahaja bersama pasukan.

Bagaimanapun, dia jelas mahu melihat penampilan lebih gah Norde pada aksi kali ini bergandingan bersama Uche Agba.

Malah Norde yang pernah menyertai skuad pembangunan Boca Juniors, Argentina sebelum ke Mexico mewakili San Luis B dan Altamira selain kelab terkemuka India, Mohun Bagan serta Mumbai City FC diyakini lebih bersedia kali ini.

“Apapun, bukan setakat Norde malah saya mahu semua pemain memberikan yang terbaik dalam perlawanan berkenaan tambahan keserasian pada perlawanan bertemu UKM masih belum memuaskan.” kata Zainal menjelang aksi pra musim di Bandung, Indonesia pada 28 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 10:31 PM