Ahmad Ismail. FOTO File NSTP
BERNAMA

PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) sedang mencari formula terbaik untuk mengatasi masalah mental pemain negara yang sering gugup apabila turun berdepan Thailand.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, berdasarkan prestasi skuad lelaki negara pada temasya Sukan SEA di Filipina tahun lalu, skuad negara sudah hampir menyamai Thailand dari segi kemahiran, tetapi faktor mental membezakan kedua-dua pasukan.

"Kita hampir mencatatkan sejarah di Sukan SEA dengan menewaskan Thailand dalam final antara regu lelaki, tetapi kita hanya mula main baik pada set kedua. Thailand sudah menggunakan segala strategi dan kudrat dengan membawa masuk semua pemain simpanan, jika perlawanan masuk ke tie breaker, sudah pasti kita menang.

"Kelemahan kita ialah gugup dan gemuruh apabila bertemu Thailand. Jadi kami sedang mencari bantuan ahli psikologi atau kaedah terbaik untuk keluarkan perasaan itu untuk menewaskan Thailand pada masa hadapan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat bedah siasat Sukan Sea ke-30 di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Beliau berkata bukan sahaja tekong kurang keyakinan untuk menerima bola daripada pemain Thailand, malah perejam sendiri tidak begitu yakin untuk membuat serangan berbahaya ke tempat lawan.

Bagaimanapun, Ahmad gembira apabila skuad sepak takraw negara berjaya mencapai sasaran dua pingat perak di Sukan SEA, apabila meraih perak acara antara regu dan regu berpasukan lelaki, selain gangsa antara regu wanita.

Bagi memantapkan lagi pasukan, Ahmad berkata skuad negara memerlukan perubahan dari segi latihan dan lebih banyak kejohanan di peringkat antarabangsa.

"Kelemahan paling ketara kita kekurangan kejohanan antarabangsa, amat kurang sekali. Kita minta MSN untuk lebih banyak pendedahan dan perkara ini akan dibincangkan pada Bengkel Periodisasi pada 29 Jan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 10:38 PM