PEMAIN Kedah meraikan kemenangan. FOTO AFC
PEMAIN Kedah meraikan kemenangan. FOTO AFC
Izzali Ismail


KEDAH menewaskan kelab Hong Kong, Tai Po FC, 5-1 pada pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Darul Aman, Alor Setar sebentar tadi.

Kemenangan ini jelas menyuntik semangat berganda buat skuad Lang Merah yang beraksi buat pertama kali dihadapan hampir 20,000 penyokong sendiri.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak tidak menunggu lama untuk menembusi gawang lawan menerusi sentuhan penyudah Kipre Tchetche yang menerima hantaran Kpah Sherman pada minit ketiga permainan.

Kipre Tchetche menambah gol kedua pada minit ke-21 menerusi hantaran lintang Rizal Ghazali yang gagal ditepis kemas penjaga gol Tai Po, Ho Yui.

Pelawat menerima tamparan hebat selepas Sun Ming Him dilayangkan kad merah pada minit ke-33 apabila menarik baju Kipre Tchetche yang hampir membuat larian solo ke kubu Tai Po.

Tai Po mendapat peluang terbaik melalui Chan Man Fai yang bergerak pantas ke kawasan penalti Kedah pada minit ke-41, namun percubaannya berjaya dinafikan oleh Ifwat Akmal.

Seminit selepas bermula babak kedua, giliran Hadin Azman pula menggamatkan suasana Stadium Darul Aman dengan gol ketiga Kedah melalui rembatan kencang dari bahagian kanan gawang Tai Po melalui

kombinasi yang digerakkan daripada Kipre Tchetche dan Kpah Sherman.

Hadin sekali lagi menceriakan penyokong apabila menambah gol keempat Kedah pada minit ke-65 selepas bola gagal dikawal barisan pertahanan lawan

Tai Po yang diibaratkan patah sayap melakukan kejutan dua minit kemudian

apabila bangkit dengan gol pertama melalui pemain tengah Chan Man Fai yang memanfaatkan peluang yang hadir.

Dihujung babak perlawanan Kipre Tchetche melengkapkan malam gemilang Kedah dengan gol kelima melalui hantaran silang daripada Baddrol Bakhtiar dan dengan kedudukan itu menjadikan keputusan muktamad 5-1 dihujung perlawanan.

Kemenangan Kedah ini melayakkan skuad Lang Merah beraksi di Korea Selatan menentang FC Seoul pada 28 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 11:47 PM