GOL tunggal Insigne berjaya membantu Napoli mara ke separuh akhir Piala Itali. FOTO Reuters
Reuters

NAPOLI mengetepikan krisis apabila gol tunggal Lorenzo Insigne membolehkan mereka mencatat kemenangan 1-0 ke atas penyandang juara, Lazio dalam saingan suku akhir Piala Itali.

Selain kegagalan Ciro Immobile gagal menyempurnakan sepakan penalti, perlawanan itu turut dihiasi dengan dua layangan kad merah.

Kedua-dua pasukan juga manyaksikan dua percubaan mereka terkena tiang, manakala dua gol Lazio dibatalkan pengadil perlawanan.

Lazio sebelum ini gah dengan enam kemenangan berturut-turut dalam semua saingan, manakala Napoli tumpas empat daripada enam perlawanan termasuk enam kali di gelan ggang sendiri.

“Kami sudah melalui saat yang memalukan namun hari ini pemain memberikan aksi terbaik mereka berdepan pasukan yang hebat seperti Lazio,

“Saya menyaksikan pasukan yang mempunyai semangat tinggi dan anda harus memerlukan intensiti tinggi untuk berdepan Lazio. Kami harus sentiasa berasa dahagakan jaringan dan tidak boleh berasa puas. Kami harus beraksi seperti ini selalu,” kata pengurus Napoli, Gennaro Gattuso

Insigne menyuntik semangat Napoli apabila mengutip bola dari bahagian kiri, sebelum memperdayakan pertahanan lawan dan melepaskan rembatan rendah menumpaskan Thomas Strakosha seawal minit kedua.

Lazio pula memperoleh sepakan penalti pada minit ke-10 selepas Elseid Hysaj mengasari Felipe Caicedo namun penjaring terbanyak Serie A setakat ini dengan23 gol, Immbolie tergelincir ketika mengambil sepakan berkenaan menyaksikan bola melambung tinggi.

Hysaj yang menerima kad kuning di atas kesalahan yang membolehkan Lazio menerima sepakan penalti berkenaan, meraih kad kuning kedua pada minit ke-19 kerana mengasari Immobile.

Enam minit kemudian, pemain tengah Lazio, Lucas Leiva menerima kad kuning dan diperintah keluar padang selepas tindakan memprotes keputusan berkenaan.

“Lucas berjaya mendapatkan bola dan tidak sepatutnya dilayangkan kad kuning namun dia adalah pemain berpengalaman. Dia tidak sepatutnya memberi reaksi seperti itu,” kata jurulatih Lazio, Simone Inzaghi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 10:19 AM