Lee Zii Jia. FOTO File NSTP
Lee Zii Jia. FOTO File NSTP
Saiful Affendy Sapran


PEMAIN badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia memulakan langkah kanan pada Masters Thailand yang juga kejohanan ketiga berturut-turut disertainya musim ini apabila berjaya mara ke pusingan kedua.

Pemain yang menduduki ranking ke-13 dunia itu, tidak berdepan masalah untuk mengatasi Sameer Verma dari India 21-16, 21-15 di pusingan pertama dalam perlawanan yang berlangsung selama 38 minit di Bangkok itu.

Kejayaan menewaskan Verma menebus kekecewaan Zii Jia yang tersingkir seawal pusingan pertama Masters Indonesia minggu lalu selepas dia dilihat cemerlang mara sehingga ke separuh akhir Masters Malaysia awal bulan ini.

Zii Jia akan bertemu Heo Kwang Hee dari Korea Selatan pada pusingan kedua.

Perseorangan profesional negara pula, Liew Daren terpaksa berhempas pulas menewaskan satu lagi wakil India, H S Prannoy 21-17, 20-22, 21-19 dalam tempoh satu jam lapan minit dan akan menentang pilihan kedua kejohanan dari China, Shi Yu Qi.

Turut bermula cemerlang beregu campuran negara, Tan Kian meng-Lai Pei Jing menewaskan wakil Denmark, Mathias Bay Smidt-Rikke Soby 21-19, 21-17.

Sementara perseorangan wanita negara, Soniia Cheah mempamer aksi meyakinkan menewaskan pemain Thailand, Porntip Buranaprasertsuk 21-14, 21-18.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 9:10 PM