Farah Ann Abdul Hadi. FOTO File NSTP
Farah Ann Abdul Hadi. FOTO File NSTP
BERNAMA

JURULATIH gimnastik artistik kebangsaan, Natalya Sinkova optimis seorang lagi gimnas Malaysia akan layak beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 Julai nanti.

Jurulatih kelahiran Ukraine ini mendedahkan Kejuaraan Asia Senior yang akan berlangsung di Tokyo, Jepun dari 2 hingga 5 Mei ini akan menjadi platform terakhir buat gimnas negara menempah tiket ke Olimpik 2020, sambil menambah hanya dua gimnas teratas pada acara “all-round” di pertandingan berkenaan akan menempah tempat ke sukan empat tahun sekali itu.

“Tentulah saya mahu lebih ramai gimnas Malaysia menyertai Olimpik. Sebelum ini, ia hanya mimpi tetapi apabila Farah Ann (Abdul Hadi) berjaya melayakkan diri ke Olimpik Tokyo, saya percaya lebih ramai gimnas Malaysia mampu melakukannya.

“Sebelum ini, kita menyaksikan dua gimnas Malaysia (Tan Ing Yueh dan Tracie Ang) meraih pingat emas pada Piala Cabaran Dunia 2016 dan pastinya ia rangsangan besar buat atlet wanita kita untuk menempatkan diri ke Sukan Olimpik,” katanya.

Sebelum pertandingan peringkat Asia ini, Sinkova berkata skuad gimnastik negara termasuk Farah Ann akan menyertai beberapa kejohanan sebagai persediaan menghadapi Olimpik 2020, sambil mendedahkan Majlis Sukan Negara (MSN) telah bersetuju untuk menanggung perbelanjaan kesemua pertandingan.

Antara kejohanan itu ialah Cabaran Berpasukan EnBW DTB-Pokal dari 20-22 Mac di Stuttgart, Jerman; Piala Antarabangsa Ukraine di Kiev, Ukraine (28-29 Mac) dan Piala Cabaran Gimnastik Artistik Dunia di Mersin, Turki pada 26-28 Jun nanti.

“Kita tiada elemen baharu untuk dipersembahkan terutama pada acara berpasukan, namun meletakkan harapan terhadap gimnas kita dalam semua pertandingan itu walaupun (atlet) dari negara-negara Eropah sangat hebat.

“Pada aksi di Piala Ukraine tahun lepas, kita menang satu pingat emas, satu perak dan dua gangsa, jadi saya harap gimnas kita mampu mempertahankan pingat itu kerana ia membabitkan banyak negara,” tambah Sinkova.

Farah Ann menjadi gimnas artistik wanita pertama Malaysia layak ke Olimpik selepas 20 tahun apabila beliau menamatkan saingan sesi kelayakan di tempat ke-16 daripada 20 atlet yang bertanding dalam acara all-around individu pada Kejuaraan Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman.

Farah Ann adalah gimnas ketiga Malaysia yang layak ke Olimpik selepas Au Li Yen melakukannya pada Olimpik Sydney 2000 dan Ng Shu Wai di Olimpik Athens 2004.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 10:18 PM